Sejarah Sekolah


SEJARAH DAN LATAR BELAKANG PENUBUHAN SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Telok Kalong telah di tubuhkan pada tahun 1945 dimana di awal penubuhannya merupakan Sekolah Agama Rakyat yang terletak di tepi pantai Telok Kalong. Sekolah ini terletak  di mukim Telok Kalong kira-kira 12 kilometer dari bandar Chukai, Kemaman. Pada awal penubuhannya, bangunan sekolah hanya setingkat dan di perbuat daripada papan dan beratap nipah sahaja. Bangunan sekolah pula tidak bercat dan tidak terdapat sebarang karya seni pada dinding. Sekolah ini telah diasaskan oleh Cikgu Bakar dimana hanya terdapat 16 orang pelajar sahaja.

Menjelang tahun 1961, bangunan sekolah telah dipindahkan ke tepi jalan utama Kemaman – Kuala Terengganu dimana Sekolah Kebangsaan Telok Kalong berada sekarang. Kemudahan sekolah mula disediakan seperti meja dan kerusi kayu, pondok pengawal dan dilengkapi dengan pagar kayu di sekeliling kawasan sekolah. Bilangan guru dan pelajar mula bertambah dengan 5 orang guru dan 57 orang pelajar.

Pada tahun 1978, seiring dengan perkembangan dan pembangunan sistem pendidikan Malaysia, Sekolah Agama Rakyat ditukarkan dengan Sekolah Kebangsaan dimana bangunan sekolah turut mengalami perubahan kepada bangunan batu setingkat. Selain itu, beberapa kemudahan lain disediakan iaitu bilik guru besar, bilik guru, tandas guru, tandas murid dan sebuah stor. Bilangan kelas turut bertambah kepada 3 kelas dan dibahagikan kepada 2 darjah. Oleh kerana tiada tukang kebun, pelajar-pelajar telah ditugaskan  untuk membersih sekolah secara bergilir mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh guru.

Pada tahun 1985, satu blok bangunan 2 tingkat didirikan di dalam kawasan sekolah. Bangunan baru ini dlengkapi dengan kemudahan perpustakaan, bilik kemahiran hidup,  makmal sains dan bilik guru.
Pada tahun 1996, sebuah pondok telah didirikan dan dinamakan Pondok Ilmu untuk tujuan program bacaan pelajar-pelajar. Sebuah padang bola disediakan untuk diadakan aktiviti sukan dan riadah pelajar-pelajar dan sebuah kantin kayu dibina untuk memberi keselesaan guru dan murid untuk berehat dan makan. Bilangan guru masa ini diangarkan seramai 18 orang dan seorang guru besar.

Pada tahun 2001, pihak kerajaan telah memberi peruntukan untuk membina dua blok bangunan 4 tingkat yang menempatkan kelas untuk pelajar-pelajar yang lebih selesa, bilik guru dengan kemudahan yang lebih baik, bilik mesyuarat , bilik pusat sumber, tandas guru dan murid serta tandas orang kurang upaya, dan sebuah dewan terbuka untuk pihak sekolah mengadakan majlis dan aktiviti-aktiviti dari semasa ke semasa. Dengan adanya pertambahan bangunan blok ini telah dapat menampung jumlah murid yang semakin bertambah serta dapat menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efisyen.

Setelah mengalami beberapa perubahan dan penambahbaikan, sehingga kini  Sekolah Kebangsaan Telok Kalong mempunyai  tiga blok bangunan yang terdiri daripada  dua blok bangunan 4 tingkat untuk kelas dan pengurusan dan pertadbiran sekolah dan satu  blok bangunan 2 tingkat untuk Prasekolah dan Makmal Komputer. Terdapat juga bangunan kantin batu yang dibina untuk keselesaan pelajar dan guru.
  
Pada 17 Januari 2011, Sekolah Kebangsaan Telok Kalong telah dipilih untuk projek rintis Kerajaan Negeri  Terengganu iaitu Projek Kelas Maya dimana projek ini menerapkan pembelajaran secara maya di dalam kelas. Kerajaan Negeri telah memperuntukan peralatan Kelas Maya sebanyak 6 buah kelas yang terdiri daripada kelas pelajar tahun 4,5 dan 6.
Pada 3 Mac 2015, Sekolah Kebangsaan Telok Kalong telah diiktirafkan sebagai Sekolah Klsuter Kecemerlangan Fasa 9 bagi tahun 2015. Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan pencapaian sekolah yang amat memberangsankan dari segi akademik dan kokurikulum. Sekolah telah memilih Subjek Matematik sebagai Kebitaraan Akademik manakala sukan Hoki sebagai kebitaraan Kokurikulum.

Pada 27 Januari 2016, Sekolah Kebangsaan Telok Kalong sekali lagi terpilih untuk menjalankan Program Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir. Sebanyak 5 buah sekolah terawal di terengganu telah dipilih untuk program ini iaitu SK Telok Kalong, SK Kijal, SK Bukit Anak Dara, SK Ibok dan SMK Kijal.


No comments:

Post a Comment